PPKI S.K Pekan Satu, 13 Julai : Seluruh warga PPKI S.K Pekan Satu mengalami trauma lebih kurang 30 minit serangan biawak gergasi sepanjang 1.5 meter bermula jam 10.09 pagi. Kejadian bermula apabila terdengar suara pekikan guru dan murid seperti histeria sebelum barisan guru lelaki bertindak mengawal keadaan.
Biawak tersebut difahamkan mula memasuki kawasan PPKI melalui arah berdekatan Pra sekolah dan Taman Bumi Hijau sekolah menurut murid perdana yang melihat kejadian. Biawak tersebut cuba meluru ke arah Bilik Rehat PPKI sebelum sempat dihalau guru-guru lelaki dan menyebabkan biawak tersebut berlari ke arah kelas paling depan PPKI iaitu Kelas Capricorn. Ketika biawak itu berjaya memasuki perangkap, malangnya kelas terbabit mengandungi beberapa orang guru perempuan dan murid yang sedang belajar. Guru lelaki seperti Cikgu Wiliam dan Cikgu Fatah terpaksa mengarahkan murid dan guru perempuan berdiri di atas kerusi dan meja di samping guru lelaki lain cuba melengahkan amukan biawak tersebut.
Setelah biawak tersebut berada di sudut yang tidak mengizinkannya bergerak, mangsa di dalam kelas tadi dibenarkan keluar dengan kawalan ketat guru lelaki. Setelah keadaan kelas sedikit terkawal, guru lelaki seperti Cikgu Wiliam, Cikgu Maarof, Cikgu Syamidy dan Cikgu Fatah memainkan peranan yang ganas bagi memastikan biawak tersebut tidak menjejaskan keselamatan mereka. Biawak semakin agresif dan cuba melawan dengan membuka mulutnya yang besar sambil mengeluarkan bunyi yang menakutkan. Tetapi dengan peralatan yang tersedia di kelas terbabit seperti kerusi dan meja, guru lelaki tadi tidak mempunyai pilihan selain menghempas mulut dan kepala biawak itu hingga mati serta tidak bergerak.
Setelah lebih kurang 10 minit bertarung, akhirnya sasaran bagi memastikan biawak itu mati berjaya dicapai, walaupun begitu tubuh biawak tersebut seperti langsung tidak tercedera. Tetapi yang penting biawak itu sudah tidak bergerak untuk memberikan ancaman lagi. Akhirnya biawak tersebut dimasukkan ke dalam plastik dan dibawa ke tempat pembuangan sampah menggunakan tong sampah hitam. Gambar -gambar di bawah menunjukkan kesan pembunuhan kejam yang terpaksa diambil disebabkan kedegilan biawak terbabit untuk bertolak ansur dan berdamai.
Mungkinkah tindakan tersebut keterlaluan? Tetapi menurut Cikgu Fatah beliau terlalu emosi ketika mendengar tangisan murid perempuan yang ketakutan ketika melihat kelibat biawak gergasi tersebut yang coba mengancam nyawa murid terbabit dan ia mendorong perlakuan ganas yang tidak disangka-sangka beliau terhadap biawak malang tadi. Semoga Allah SWT melindungi PPKI SK Pekan Satu dan tidak lagi berlaku kejadian lebih dahsyat selepas ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan